Sunday, May 9, 2010

Semangat Kejiranan


Semangat Kejiranan

Marcapada ini, rata-rata kehidupan masyarakat khususnya di kota-kota metropolitan lebih bersifat nafsi ataupun individualistic. Semangat kejiranan dan altruism dalam kalangan warga Malaysia mulai sirna. Paradigma ini sering menjadi polemik utama dan meniti di bibir ke bibir rakyat. Siapakah yang harus dipersalahkan? Nescaya, sebelum nasi sudah menjadi bubur, langkah-langkah pragmatic perlu diambil bagi menyuburkan semangat kejiranan dalam institusi masyarakat Malaysia kembali.

Pertama, pihak kerajaan boleh menjalankan kempen-kempen bersesuaian di peringkat kebangsaan. Modus operandi utama kempen ini dijalankan adalah untuk menanam sifat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Tamsilannya, proklamasi Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia sangat menekankan semangat perpaduan antara semua kaum di Malaysia. Sinergi dan usahasama sebeginilah yang wajar diambil contoh dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Bak kata pepatah, “ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua”. Justeru, kempen-kempen anjuran kerajaan ini amat vital bagi menyemai semangat kejiranan.

Selain itu, pihak kerajaan juga boleh melaksanakan program-program yang melibatkan semua kaum di setiap peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan. Hal ini demikian kerana punca utama kelunturan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat bertitik tolak daripada kurangnya semangat perpaduan. Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain, ibarat kata pepatah, “serumpun bagai serai, seikat bagai sirih, sedencing bagai besi”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia, menunjukkan keberhasilan penganjuran program “Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar negara. Jelaslah, usaha kerajaan ini amat sesuai bagi memupuk semangat kejiranan dalam kalangan warga Malaysia.

Di samping itu, pihak media turut memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat kejiranan. Sarwajagat mengetahui, media merangkumi media cetak dan media elektronik. Sehubungan dengan itu, pelbagai kaedah boleh diusahakan bagi menyuburkan semangat kejiranan. Media cetak misalnya boleh memaparkan artikel-artikel mengenai kepentingan semangat kejiranan manakala media elektronik pula boleh menyiarkan dokumentari dan rancangan yang menarik dan menekankan peri pentingnya semangat kejiranan. Usaha Majalah 3 yang menyiarkan “Colours of Malaysian”, sebuah dokumentari mengenai semangat kejiranan dan perpaduan di Malaysia wajar disokong. Justeru, semangat “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah” ini wajar kita tonjolkan melalui media massa.

Seterusnya, persatuan-persatuan penduduk juga perlu peka akan masalah ini. Bagi memupuk semangat kejiranan semula, persatuan ini seperti Rukun Tetangga perlu berbincang dan bersepakat melaksanakan program bersesuaian demi kemaslahatan penduduk. Sebagai contoh, kegiatan rewang dan Hari Keluarga dapat dianjurkan bagi merapatkan hubungan silaturahim antara penduduk. “Sepakat membawa berkat,” begitulah kata-kata filsuf silam. Malahan, menurut laporan majalah The Times di Australia, kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia. Pengiktirafan sebegini menunjukkan bahawa perpaduan yang dijana melalui aktiviti kemasyarakatan sememangnya merupakan jalan yang terbaik bagi memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Akhir sekali, masyarakat sendiri perlu mempunyai kesedaran untuk berubah. Dalam mencipta satu resipi makanan misalnya, kita memerlukan bahan yang benar-benar berkualiti bagi hasil yang memberangsangkan. Begitu juga dengan semangat kejiranan yang ingin dibentuk. Kita memerlukan unit masyarakat yang syumul dan mahukan perubahan. Nescaya, kerjasama dan sinergi yang ampuh antara ahli masyarakat amat diperlukan bagi memanifestasikan sebuah komuniti yang bersatu. Janganlah menjadi seperti “enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Malah, hasil kajian Jabatan Perpaduan Malaysia menunjukkan sikap mementingkan diri merupakan factor utama kelunturan semangat kejiranan. Lantaran itulah, sesebuah organisasi masyarakat itu perlu bersedia melakukan anjakan paradigma demi kebaikan bersama.

Secara tuntasnya, segala usaha untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat tidak boleh dicapai dalam masa yang singkat. Namun, ingatlah, “tiada gunung yang tidak dapat didaki, tiada lurah yang tidak dapat dituruni”. Justeru, demi melahirkan masyarakat yang bersatu padu, semua pihak perlu berganding bahu ke arah itu. Kenanglah kembali perjuangan tokoh-tokoh patriot negara. Jika mereka boleh lakukan, kenapa kita tidak? Tepuk dada, tanyalah minda.

6 comments: