Monday, May 10, 2010

Kebaikan Mempelajari Mata Pelajaran Sejarah


Kepentingan Mempelajari Mata Pelajaran Sejarah

Memetik madah agung, George Santayana, seorang ahli sejarawan dunia, “ seseorang yan g melupakan sejarah pasti akan mengulanginya”. Justeru, bertepatan dengan kata-kata tersebut, mata pelajaran Sejarah telah diperkenalkan dalam Kurikukum Bersepadu Sekolah Menengah. Terdapat pelbagai kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah.

Pertama, kita dapat menerapkan nilai-nilai patriotisme dalam kalangan pelajar. Semangat cinta akan negara amat vital dan perlu dipupuk dalam sanubari rakyat jelata sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Lantaran itu, pengajaran mata pelajaran Sejarah dianggap sebagai satu wadah bagi menyuntik semangat kebangsaan ini. Melalui penggaluran semula kisah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka pimpinan cakerawati Sultan Muzaffar dalam silibus seawal Tingkatan Satu Lagi misalnya, sudah pasti para pelajar akan berasa kagum akan sejarah negara. Maka jelaslah, patriotisme pasti terpasak padu dalam nurani pelajar menerusi instrument ini.

Selain itu, pembelajaran mata pelajaran Sejarah dapat meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai asal-usul negara. Silibus Sejarah selama lima tahun yang cukup komprehensif izharnya dapat member kesedaran kepada pelajar bahawa perjuangan ke arah kemerdekaan suatu ketika dahulu bukanlah sesuatu yang mudah. Dengan kolaborasi dan sinergi antara kaum Melayu, Cina dan India berkat usahasama Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambathan, barulah kita dapat merasai nikmat kemerdekaan. Perkara ini sepatutnya perlu diketahui oleh setiap warganegara kerana “sesiapa yang melupakan akar bangsanya ibarat si Tenggang menderhakai ibunya”. Sehubungan dengan itu, mata pelajaran Sejarah berperanan sebagai satu platform yang cukup utuh untuk mengetengahkan kembali warisan sejarah kita suatu ketika dahulu.

Akhirnya, kita dapat mengambil iktibar daripada peristiwa lampau melalui mata pelajaran Sejarah. Sarwajagat mengakui, kuasa-kuasa imperialis dunia menguasai Tanah Melayu silih berganti selama 446 tahun. Maka, dalam tempoh itu, kita ditekan dan ditindas selayak binatang oleh penjajah durjana. Justeru, apabila negara sudah merdeka, kita mula menyedari kepentingan sains dan teknologi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kuasa-kuasa danawa dunia. Lantas, mengambil iktibar dari peristiwa silam, Malaysia melestarikan teknologinya melalui Koridor Raya Multimedia dan Cyberjaya selaras dengan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan. Atas prinsip, “ di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”, Malaysia terus dikenali di seantero dunia. Maka, benarlah bahawa iktibar yang diperoleh daripada pembelajaran Sejarah dapat memajukan negara.

Akhirulkalam, semua pihak perlu bekerjasama dan berganding bahu bagi meningkatkan kualiti dan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran Sejarah lagi. Demi kemaslahatan bersama, ayuhlah, kita lengkapkan diri dengan ilmu-ilmu tawarikh agar nilai sejarah kita tidak luput ditelan zaman.

3 comments:

  1. namun..

    berkaitan apa yang dikatakan George santayana...

    sepatutnya kita mempelajari sejarah yang menunjukkan kejatuhan sahaja..

    kerana...kita perlu melupakan segala kejayaan untuk kita mengulanginya,.tak gitu..

    ReplyDelete
  2. penyata razak harus diperjuangkan

    ReplyDelete