Sunday, May 9, 2010

Perubahan Pendidikan dan Perhubungan di Malaysia


Perubahan Pendidikan dan Perhubungan di Malaysia

Alvin Tofler, seorang ahli futuristic Barat menukilkan dalam buku beliau, “Power Shift” bahawa transformasi sesebuah negara amat penting bagi membangunkan masyarakat utopia di dalamnya. Negara Malaysia turut tidak ketinggalan dalam mengharungi arus pascamodenisasi ini. Izharnya, rencaman perubahan dapat diperhatikan di negara kita marcapada ini.

Pertama, dari segi material pendidikan. Bak kata pepatah, “sekali air bah, sekali pantai berubah”. Maka, arus pembangunan telah mentransformasikan sistem pendidikan di Malaysia secara berperingkat-peringkat. Jika dahulu, pembelajaran hanya berdasarkan buku-buku teks dan bahan ilmiah bercetak sahaja. Namun, dasawarsa ini, bahan-bahan pembelajaran boleh didapati melalui laman sesawang yang boleh diakses hampir di seluruh kawasan sekolah. Pengimplimentasian Sekolah Bestari di bawah Pelan Jalur Lebar Kebangsaan wajar disokong bagi menyemarakkan sistem pendidikan negara lagi. Maka jelaslah, perubahan dari aspek pendidikan perlu dipertingkatkan demi kemaslahatan bersama.

Kedua, dari segi komunikasi. Sistem komunikasi di negara kita telah mengalami perubahan yang cukup drastic sejak era 80-an lagi. Pengenalan Koridor Raya Multimedia, Cyberjaya dan Putrajaya benar-benar telah membuka mata warga dunia bahawa negara kita juga mampu ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah” dengan kuasa-kuasa danawa dunia dalam bidang komunikasi. Daripada penggunaan surat melalui pos, maklumat kini boleh disebarkan dengan lebih cepat melalui khidmat e-mel dan internet. Penciptaan sistem telekomunikasi generasi ketiga, ‘hotspot Wifi” dan sebagainya benar-benar telah membuka ruang kepada rakyat untuk merasai sendiri teknologi-teknologi ini. Nescaya, perkembangan bidang komunikasi telah memudahkan rakyat.

Akhir sekali, dari segi infrastruktur perhubungan. Komunikasi antara dua pihak akan menjadi lebih mudah sekiranya infrastruktur tersebut dibangunkan. Mengimbau kembali retrospeksi lampau, masyarakat dahulu menggunakan kaedah konservatif seperti kereta lembu dan jalan tanah merah untuk berhubung. Namun, sekarang atas sinergi pemimpin-pemimpin negara, kita dapat melihat penggunaan monorel, transit aliran ringan (LRT) dan pembinaan lebuh raya-lebuh raya di seantero negara. Tamsilannya, pembinaan Lebuh Raya Utara Selatan pada tahun 1990-an telah berjaya memendekkan jarak perjalanan dari Bukit Kayu Hitam ke Johor Bahru. Maka ternyatalah, komunikasi dan perhubungan rakyat menjadi lebih mudah dengan adanya perkembangan dalam bidang ini.

Akhirulkalam, perubahan-perubahan yang dilaksanakan di negara ini tidak lain tidak bukan hanya untuk kepentingan rakyat. Selaras dengan slogan 1Malaysia, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, marilah kita berganding bahu melestarikan pembangunan negara. Bak kata pepatah, “ selubang bagai tebu, serumpun bagai serai”.

No comments:

Post a Comment