Sunday, May 9, 2010

Jika Saya Seorang Pemimpin


Jika Saya Seorang Pemimpin

Transformasi, perubahan, evolusi dan revolusi – kalimah-kalimah ini membawa konotasi yang sama ; iaitu melakukan penambahbaikan untuk menghasilkan sesuatu yang lebih berkualiti. Memetik kata-kata agung Martin Luther King Jr. , pemimpin tersohor bangsa kulit hitam Amerika Syarikat tatkala Dasar Apartheid bermaharajalela, “saya ada impian untuk melakukan perubahan”. Rentetan itu, beliau berjaya menghapuskan dasar pilih kasih lantas dikenang sepanjang zaman. Saya turut mempunyai impian. Perubahan dan transformasi Malaysia pada masa hadapan saya harapkan. Yang pasti, semua manusia mempunyai agendanya tersendiri. Sama ada mahu atau pun tidak, sebagai pemimpin yang berwibawa, perubahan harus dilaksanakan.

Pertama, dari segi ekonomi. Pada zaman transisi modenisme dan ledakan maklumat ini, ekonomi dunia kian rapuh. Krisis sub-prima yang melanda Amerika Syarikat telah memberikan tamparan hebat kepada struktur ekonomi global. Yang memburukkan keadaan lagi, dalam kegawatan ekonomi yang turut dirasai bumi bertuah ini, masalah-masalah seperti penutupan kilang dan pembuangan pekerja kian berleluasa. Impaknya, produktiviti negara semakin merudum lantas melumpuhkan ekonomi negara. Justeru, bagi menjamin kestabilan ekonomi, industri kecil dan sederhana serta industri hiliran perlu dimantapkan. Dana-dana akan disuntik bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan industri tersebut. Malahan, industri baru seperti nanoteknologi mahupun pikoteknologi boleh direkayasakan. Menurut Unit Perancang Ekonomi (EPU) , kadar keluaran dalam negara kasar negara hanya meningkat 0.01 peratus dari tahun 2007 ke 2008. Hal ini amat menyedihkan apabila pembangunan ekonomi negara amat lembap dan tidak konsisten. Lihatlah, negara Jepun yang cukup gah dengan kemajuan teknologinya. Justeru, untuk kita “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan negara-negara danawa itu, ekonomi negara perlu diperhebat lagi.

Selain itu, dari segi politik, sistem pentadbiran negara akan diperkemas. Langkah Datuk Seri Najib Tun Razak menggabungkan portfolio para menteri wajar dipuji. Usaha ini dilihat sebagai “serampang dua mata”. Bukan sahaja kos pentadbiran dapat diminimumkan, malahan tahap kecekapan dan efisiensi pentadbiran turut dipertingkatkan. Dari sudut pandangan saya, gabungan portfolio ini perlu dilaksanakan lagi kerana masih terdapat tugas para menteri yang seakan-akan serupa. Sebagai contoh, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi boleh disekalikan dengan Kementerian Teknologi Hijau. Di samping itu, perubahan dari segi sistem pilihan raya yang lebih telus perlu diimplimentasikan. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM), peratus undian rosak dan undi “hantu” semakin meningkat dari tahun ke tahun. Maka, pengurusan SPRM perlu dimantapkan bagi menjamin keadilan dan kesaksamaan selaras dengan teras ketiga Rukun Negara , kedaulatan undang-undang. Malahan, bagi membentuk satu sistem politik yang adil dan dihormati, penyelarasan dari segi kelayakan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri akan dilaksanakan. Syarat-syarat akan diperketat agar ahli-ahli politik atau politikus yang benar-benar matang sahaja akan dimanifestasikan. Maka jelaslah, sistem politik yang stabil sudah pasti akan menjadi simbol dan kebanggaan negara.

Di samping itu, taraf hidup rakyat akan ditingkatkan. “sekali air bah, sekali pantai berubah”, lantaran itu, perubahan yang berlaku perlulah seiring dengan perkembangan masa di negara kita. Kita bukan lagi berada pada era zaman Tuk Nadur berkajang kain. Dunia kini amat menuntut kita untuk meningkatkan taraf hidup sekaligus berupaya menampung kos sara hidup yang semakin tinggi. Bagi merealisasikan matlamat tersebut, tahap kesihatan dan keselesaan rakyat perlu diperhebat. Maka, klinik-klinik dan hospital-hospital akan dilengkapi dengan peralatan-peralatan moden serta canggih setanding dengan negara-negara maju dunia. Malahan, kursus-kursus intensif akan diberikan kepada para doctor dan ahli kesihatan agar ability dan prestasi mereka dapat meningkatkan nama negara di persada dunia. Sebagai contoh, kejayaan para mahasiswa Universiti Sains Malaysia mencipta implan jantung sintetik pertama di dunia telah membuka mata saintins-saintis seantero dunia. Kejayaan sebegini perlu dipertingkatkan agar Malaysia terus tersohor dalam arena perubatan. Justeru, andai taraf kesihatan rakyat dapat dipertingkatkan, maka taraf hidup rakyat juga akan meningkat.

Seterusnya, saya akan melakukan evolusi kepada sistem pendidikan negara. Ketika Tan Sri Musa menerajui pendidikan Malaysia, Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris hebat diperdebatkan, tatkala Dato’ Seri Hisyamudin memegang portfolio tersebut, agenda Sekolah Kluster menjadi bualan hangat di seluruh pelosok negara. Maka, perubahan yang bakal saya laksanakan ialah mengubah sistem pendidikan negara kepada sistem yang kurang berorientasikan peperiksaan. Penilaian akan dijalankan mengikut sistem negara Barat iaitu penilaian berasaskan sekolah. Projek, lawatan kerja luar, kerja kursus, eksperimen dan amali praktikal akan diperbanyak bagi menghapuskan sindrom “ulat buku” dan pemikiran jumud para pelajar pada hari ini. Menurut kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia, sistem pendidikan yang diamalkan di negara kita akan menghasilkan pelajar yang tidak seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek sekiranya terlalu berorientasikan peperiksaan. Malahan, ada yang menyifatkan sistem ini ibarat “ kambing menanduk bukit, bukit tak runtuh, tanduk jua yang patah” apabila pelajar terlalu terbeban dengan sistem tersebut. Lantaran itu, satu transformasi perlu dilakukan kepada sistem pendidikan negara.

Akhirnya, dari segi pengangkutan dan perhubungan. Hasrat kerajaan Malaysia yang ingin menjadikan keseluruhan negara mempunyai talian tanpa wayar internet akan diteruskan. Usaha ini akan dilaksanakan agar rakyat dapat menikmati kemudahan internet walaupun berada di kawasan pedalaman. Selain itu, sistem lebuh raya dan jalan raya bebas tol akan diperkenalkan. Pendapatan negara pada ketika itu yang dijana melalui sector nanoteknologi dan pelancongan lebih mengutamakan rakyat. Sistem transit aliran ringan dan monorel akan diperluas lagi ke negeri-negeri di pantai timut Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Berdasarkan bancian yang dijalankan Kementerian Pengangkutan Malaysia secara rawak, hampir 70 peratus rakyat Malaysia inginkan perkhidmatan kenderaan awam yang diperluas rangkaiannya. Rentetan itu, kenderaan awam seperti bas dan teksi akan diperbanyak, malah pengangkutan elit seperti kapal terbang akan ditambah frekuensinya dan diturunkan tambangnya. Maka, hal ini sudah pasti akan menjamin kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

Tuntasnya, segala perubahan dan transformasi yang bakal saya laksanakan adalah semata-mata untuk rakyat. Justeru, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama menggembleng tenaga agar segala impian ini bukan hanya sekadar angan-angan Mat Jenin tetapi menjadi satu kenyataan. Sesungguhnya, pemimpin yang baik ialah pemimpin yang berjiwa rakyat, berketrampilan dan tidak ada pidana. Kita telah menyaksikan kepimpinan TunAbdul Rahman yang cukup patriotic, Tun Abdul Razak yang cukup idealistic, Tun Hussein Onn yang hebat memproklamasikan perpaduan, Tun Mahathir yang cekap menjalankan pembangunan, Tun Abdullah yang cukup Islamik dan terkini Datuk Seri Najib dengan prinsip 1Malaysia beliau. Akhirulkalam, hakikatnya, segala-galanya bergantung kepada individu tersebut untuk mecorakkan negara. Ingatlah, “rambut sama hitam, hati lain-lain”

No comments:

Post a Comment